News

 

Refleksi 1Perbendaharaan (Januari 2015)

Posted on 19 Jan 2015

refleksi 1perbendaharaan (januari 2015)

Refleksi 1 Perbendaharaan bagi Bulan Januari tahun 2015 dimulakan dengan ucapan Selamat Tahun Baru serta Selamat Menyambut Maulidur Rasul pada 3.1.2015 yang lalu oleh Akauntan Negeri Sarawak. Beliau mengucapkan penghargaan kepada Encik Riman Reduan dan Encik Awang Sahmat beserta kontingen yang telah menjayakan perarakan Maulidur Rasul baru-baru ini.

Akauntan Negeri Sarawak berpesan agar berusaha menyuburkan pencapaian kegemilangan jabatan dan melibat diri dengan aktif dalam mencipta BSC 15-20. Inisiatif-inisiatif yang akan dilaksana diharapkan akan dapat dilihat pada hujung tahun 2020 dengan bayangan JPNS yang lebih gah, lebih mampu memberi perkhidmatan yang canggih dan berkemungkinan menghasil akaun berdasar akruan, akaun yang boleh diakses 'real time'. Manakala Perbendaharaan Bahagian yang bersifat 'zon' yang memberi perkhidmatan tanpa sempadan Bahagian. Beliau membayangkan struktur organisasi yang akan disusun semula dan diisi oleh pegawai-pegawai yang berwibawa yang dapat memantap perkhidmatan kepada rakyat dan 'stakeholders'.

Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi global kini, skop perakaunan dan peranan sesuatu Pejabat Perbendaharaan mesti peka kepada pergolakan kemahuan pelanggan sejagat. Mereka akan menjadi sebahagian pelanggan dan 'stakeholders' jabatan. Pada masa kini Negeri Sarawak telah di nilai oleh S&P. Moodys, RAM iaitu pakar ekonomi dan  penganalisis kedudukan kewangan bertaraf dunia. Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa jabatan perlu berlari sama pantas dengan kehendak pakar ekonomi serta mampu memberi penyata kewangan yang difahami dan diterima pakai seluruh dunia.

Dalam jabatan melalui cabaran-cabaran ini, semua pegawai diingatkan untuk mempersiap dan memperkemas pengetahuan dan ilmu. Baca, tanya dan selidik untuk sesuatu tugasan. Kecemerlangan dalam usaha akan membuahkan produk Perbendaharaan yang mampu memenuhi kehendak pelanggan malah melepasi ekpektasi mereka. Ianya memerlukan senario dalam mana seperti seorang saintis yang taksub dengan ciptaan dan penyelidikannya. Iaitu punya rasa tanggungjawab dan disiplin meneliti tugas dengan dedikasi penjawat awam.

Anggap tugas itu satu amanlan menonjol jati diri penih bakti. Biar mercu kecemerlangan di tawan tahun demi tahun. Peluk semangat dan gelodak cetusan minda menghasil 'output' yang menjadi idaman kawan dan lawan. Zig Ziglar berkata:

"orang yang paling miskin ialah orang yang tidak ada impian. Maka rugilah mereka hidup dan bekerja hari demi hari tanpa wawasan dan arah tuju. Sekadar menghabis detik saat menunggu petang dan esok. Diulangi setiap hari sehingga habis hayat dalam era bekerja."

Akauntan Negeri berharap agar semua pegawai tidak perlu gerun atau takut dengan peringatan beliau dalam mencapai wawasan 2020 iaitu dalam jangkamasa 6 tahun lagi. Masih ada masa bagi setiap pegawai beransur-ansur menimba ilmu sambil melaksana pelan-pelan tindakan. Beliau pasti ada sebilangan pegawai yang masih gigih meneroka ilmu yang mana telah nampak kejayaan demi kejayaan menjulang tropi dan sijil pengiktirafan kemenangan dari segenap pelusok dunia.

Akauntan Negeri mengakhirkan ucapan dengan puisi berikut:

 

Visi terpahat di dada

Misi jadi pedoman kerja

Kehendak pelanggan jadi balutan minda

 

Ke Pejabat menjadi pencipta

Tugasan dipasti cacat sifar

Alpa bukan pegangan kita

Mudahan usaha menonjol berjaya

 

Pulang puas senyum di muka

Menabur bakti rakyat bersuka

Kesalahan jadi penambah tekad

Kemenangan jadi pembulat muafakat

Medan beraksi pentas sejagat

Melangkau sempadan Negeri Sarawak keramat

 

Seanterio dunia sudah ditawan

Piala, gelaran jadi habuan

Imej negeri jadi taruhan

Kemampuan kita tiada tandingan

 

Rintangan dihadap bukan penyebab kegagalan

Kita tidak tahu kata mengalah

Perkhidmatan negeri jadi penguat semangat

 

Hendak seribu daya

'Agi idup agi ngelaban'

Langit ke tujuh boleh ditembusi

Secupak boleh jadi segantang

Kail sejengkal boleh mengharung lautan dalam

Tidak menunggu sedikit menjadi bukti

 

Esok masih ada

Buang yang keroh ambil yang jernih

Yang baik jadi tauladan

Yang pahit jadi sempadan

 

Kita sekadar menumpang lalu

Merentas jalan usia hidup JPNS tersayang

Meninggal bakti yang harap dicatat

Dalam lipatan sejarah Jabatan terbilang

 

Itu janji ikrar kita

Sebagai pengisi tahun mencabar

Dengan itu Tuan dan Puan

Tepuk dada tanya selera.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 



© Hak Milik Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.


Last Updated On 06 Sep 2024

WAKTU PEJABAT

Isnin - Khamis

8 pagi hingga 1 petang & 2 petang hingga 5 petang

Jumaat

8 pagi hingga 11:45 pagi & 2:15 petang hingga 5 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum

Kaunter Tutup

image Undian
image Pengumuman