News

 

Bengkel Pengurusan Gaji Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak

Posted on 24 Oct 2016

bengkel pengurusan gaji

Seksyen Gaji di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak telah menganjurkan satu bengkel Pengurusan Gaji Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak bagi Zon Selatan tahun 2016. Acara ini telah dirasmikan oleh wakil Akauntan Negeri Sarawak iaitu Puan Hajah Elean Masa'at selaku Timbalan Akauntan Negeri. Perasmian ini telah diadakan pada 18 Oktober 2016 di Hotel Penview, Kuching. Bengkel ini telah dihadiri oleh wakil Agensi dan Jabatan di Zon Selatan. Di bawah adalah antara teks ucapan perasmian.

TEKS UCAPAN DATU AKAUNTAN NEGERI SEMPENA PERASMIAN BENGKEL PENGURUSAN GAJI PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SARAWAK ZON SELATAN 2016


Terima kasih Saudari Pengerusi Majlis,
Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Yang Berusaha Penolong Akauntan Negeri Kanan (Gaji) Encik Rabuan bin Mantine
Yang Berusaha Penolong Akauntan Negeri Kanan (Gaji), Encik Christopher Danan Binjie
Ketua-ketua Jabatan
Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan
Pegawai-pegawai dan tuan-tuan puan-puan yang saya dihormati sekalian.

Al-hamdullilah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana kita semua dapat berjumpa di Majlis Perasmian Bengkel Pengurusan Gaji Kerajaan Negeri pada hari ini. Bengkel seperti ini telah agak lama tidak diadakan. Bagaimanapun dari semasa ke semasa taklimat dan kursus-kursus pendek berkaitan dengan sistem dan pengurusan gaji telah diadakan.


Tuan-tuan dan Puan-puan,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Bengkel Pengurusan Gaji ini yang diketuai oleh Penolong Akauntan Negeri Kanan, Encik Christopher Danan kerana mengurus bengkel ini. Saya juga merasa amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan/puan-puan sebagai wakil dari Kementerian dan Jabatan tuan-tuan/puan-puan kerana dapat menghadiri bengkel hari ini. Terima kasih kepada Ketua tuan-tuan/puan-puan kerana melepaskan tuan-tuan/puan-puan. Saya berharap saudara Christopher dapat memberi penerangan yang jelas dan efektif kepada tuan-tuan/puan-puan untuk dipelajari dan difahami mengenai sistem-sistem, prosidur-prosidur dan proses-proses pengurusan gaji kita semua. Pihak SAINS juga akan memberi taklimat dan penerangan berkaitan dengan PMS dan eSalary. Saya mohon tuan-tuan/puan-puan menggunakan peluang ini untuk bertanya sebarang kemusykilan dan masalah berkaitan dengan kedua-dua sistem berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.
Matlamat bengkel Pengurusan Gaji ini diadakan adalah untuk memberi penerangan dan membincangkan beberapa perkara penting iaitu:

1.    Pertama – ialah mengenai sistem-sistem komputer yang digunakan iaitu Payroll Management System (PMS) dan eSalary Input System (eSalary). Kedua-dua sistem ini digunakan di Unit Gaji, Jabatan Perbendaharaan Negeri tetapi hanya eSalary sahaja digunakan diperingkat Kementerian dan Jabatan atau Pay Center (PCC). Saya rasa tuan-tuan dan puan-puan lebih mengetahui kedua-dua sistem ini kerana ianya telah mula digunakan pada tahun 2013 mengantikan State Payroll System (SPS). Tetapi bagi yang baru mengetahui atau baru menjalankan kerja-kerja pengurusan gaji, maka inilah peluang anda untuk bertanya kepada kami.  Pihak Jabatan Perbendaharaan yang dibantu oleh pihak SAINS sentiasa berusaha meningkatkan dan menambahbaik sistem-sistem ini bagi mengimbangi perkembangan teknologi masakini dan juga menangani masalah-masalah yang dialami jika ada. Mudah-mudahan dengan adanya sistem-sistem ini, kerja-kerja pengurusan gaji, penyimpanan rekod dan laporan-laporan berkaitan adalah lebih lengkap, mudah dan boleh diperolehi dengan cepat.

2.    Kedua – adalah mengenai prosidur-prosidur yang perlu dipatuhi dan diikuti dalam mengurus input dan rekod gaji pegawai. Prosidur-prosidur akan perlu diubah selari dengan peredaran masa dan juga perubahan sistem.  Contohnya, kalau dahulu semua input gaji dibuat menggunakan borang Input T.156A yang diisi secara manual, tetapi sejak tahun 2013, penggunaan borang ini telah diambilalih oleh sistem eSalary yang mana input gaji dibuat dan disediakan di dalam sistem berkenaan. Borang Input T.156A yang telah lengkap hanya dicetak dari eSalary dan dikemukakan ke Jabatan Perbendaharaan Negeri untuk diproses.

3.    Ketiga -- adalah mengenai tanggungjawab dan peranan kita semua dalam pengurusan gaji. Jabatan Perbendaharaan Negeri, Kementerian dan Jabatan mempunyai tanggungjawab bersama dalam mempastikan gaji dibayar dengan tepat dan rekod gaji disimpan dan diurus dengan sempurna. Komitmen yang tinggi daripada semua pihak adalah perlu dan ini hanya akan dapat dicapai jika wujud persefahaman dan kerjasama diantara kita. Kegagalan Perbendaharaan, Kementerian dan Jabatan melaksanakan tanggungjawab dan peranan boleh menjurus kepada masalah dan berlakunya tersalah bayar gaji atau elaun sama ada terlebih bayar atau sebaliknya. Oleh itu, ketelitian semua pihak adalah sangat penting dan diperlukan dalam mempastikan gaji diurus dengan effisyen dan tepat.

Tuan-tuan dan puan-puan..
Jabatan Perbendaharaan akan terus berusaha membuat kajian dan penambahbaikan ke atas sistem, prosidur dan pengurusan gaji secara keseluruhannya. Hari ini, ingin saya kongsikan, salah satu penambahbaikan yang akan kita buat adalah untuk memudahkan lagi pemprosesan input gaji. Sekiranya diluluskan oleh pihak atasan, tuan puan tidak perlu lagi mengemukakan hardcopy input gaji ke JPNS. Borang Input Gaji T.156A dan semua dokumen sokongan akan disimpan di pejabat tuan puan dan Perbendaharaan hanya memproses input berkenaan melalui PMS sahaja. Ini seperti apa yang kita buat untuk Baucar Bayaran biasa.    

Tuan-tuan dan Puan-puan.
Saya amat berterima kasih kalau tuan puan dapat memberi feedback dan kekurangan dan kelemahan sistem atau prosidur atau proses pengurusan gaji yang sedia ada supaya ianya dapat dikaji semula dan ditambahbaik. Dengan usaha kerjasama  diantara kita semua akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengurusan gaji Kerajaan Negeri. Saya berharap saudara Christopher akan mengagihkan borang maklumbalas untuk tindakan kami.

Akhir kata, saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan/puan-puan di atas kehdiran tuan-tuan/puan-puan pagi ini.                      

Dengan lafaz Bismillahirramannirrahim dan dengan sukacitanya saya merasmikan Bengkel Pengurusan Gaji Kerajaan Negeri 2016.

Sekian, terima kasih.                                   



© Hak Milik Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.


Last Updated On 06 Sep 2024

WAKTU PEJABAT

Isnin - Khamis

8 pagi hingga 1 petang & 2 petang hingga 5 petang

Jumaat

8 pagi hingga 11:45 pagi & 2:15 petang hingga 5 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum

Kaunter Tutup

image Undian
image Pengumuman