News

 

Amanat Premier Sarawak Tahun 2025

Posted on 14 Jan 2025
Source of News: Unit Hasil, TVS, Astro Awani, Utusan Borneo Online
Amanat Premier Sarawak Tahun 2025

 
Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak telah turut sama dalam Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025 telah diadakan pada pagi tadi 13 Januari 2025 (Isnin) bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK). Datu Hajah Elean Binti Masa’at, Akauntan Negeri Sarawak telah hadir bersama dengan pegawai Jabatan Perbendaharaan Negeri. Seramai 11 Akautan Bahagian turut hadir di majlis ini bersama ketua seksyen di Ibu Pejabat.

Pada majlis tersebut, YAB Premier telah membentangkan kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh Kerajaan Sarawak sepanjang tahun 2024, perancangan hala tuju Sarawak pada masa depan termasuk para penjawat awam Sarawak pada tahun 2025 ini.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut adalah YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak dan juga YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.
 
Antara intipati ucapan YAB Premier:

Sarawak akan meningkatkan usaha mendapatkan pembiayaan projek transformasi tenaga pada tahun ini bagi mencapai kapasiti tenaga bersih sebanyak 10 gigawatt (GW) dan 15GW menjelang 2035.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya akan bekerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa dan rakan global, memanfaatkan dana hijau dan perkongsian strategik untuk memacu peralihan Sarawak ke arah masa depan yang lebih bersih dan berdaya tahan.

"Sarawak bukan sekadar mengambil bahagian dalam peralihan tenaga, tetapi kami sedang membentuknya," katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Dengan Fasa Satu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kian menghampiri tahun terakhir, beliau berkata adalah penting bagi semua agensi untuk terus fokus dan berdedikasi bagi memastikan pelaksanaan program dan projek dipercepatkan serta dilaksanakan dengan efisien.

Abang Johari turut menyeru semua pihak untuk menyelaraskan usaha kerajaan negeri dengan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meliputi tempoh 2026-2030.

"Usaha kita di bawah RMK-13 akan kekal pelbagai bentuk dalam mencapai hasil berimpak tinggi yang digariskan dalam PCDS 2030.

"Oleh itu, penekanan RMK-13 adalah untuk meningkatkan ketahanan ekonomi melalui transformasi dan diversifikasi, memajukan transformasi digital, memupuk keterangkuman sosial dan memastikan kemampanan serta kesaksamaan untuk semua," katanya.

Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dalam ucapannya berkata Sarawak terus menunjukkan kemampuan menjana pendapatan tinggi apabila berjaya meraih hasil RM14.2 bilion pada 2024, melepasi sasaran awal RM12.7 bilion.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Abang Johari selama lapan tahun, hasil negeri kini meningkat dua kali ganda daripada RM5.6 bilion pada 2017.

-  Astro Awani online 14.1.2025 - 

 
Sebanyak RM100 bilion akan disuntik ke dalam ekonomi Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelaburan ini akan menyokong dua projek transformasi utama, iaitu pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu dan pelabuhan laut dalam di Kuching.

“Kedua-dua projek ini bertujuan meletakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi yang semakin meningkat di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang yang dicadangkan akan dibangunkan dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pintu strategik bagi eksport dan import tenaga.

“Selari dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), pelabuhan ini akan memudahkan ‘bunkering’ hidrogen hijau, eksport gas asli cecair (LNG) dan sumber tenaga lain, sekali gus memacu peralihan Sarawak ke arah tenaga diperbaharui,” katanya.

Pelabuhan itu kata Abang Johari, akan dilengkapi dengan infrastruktur moden dan teknologi pintar untuk memastikan kecekapan operasi serta kelestarian.

Tambahnya, pelabuhan yang dijangka beroperasi menjelang 2030 itu akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam tenaga mampan dan perdagangan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak komited untuk mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri tenaga dan petrokimia.

"Awal tahun lepas, PETROS telah dilantik oleh Kerajaan Sarawak sebagai agregator gas untuk Sarawak membolehkan PETROS menyelia pengurusan dan pengagihan sumber gas asli, memastikan Sarawak mengekalkan kawalan yang lebih besar ke atas rantaian bekalan tenaga kami.

"PETROS kini berada dalam kedudukan utama untuk merundingkan syarat yang lebih baik untuk Sarawak, mengembangkan kapasiti tenaga kami dan memacu pertumbuhan selanjutnya dalam sektor tenaga," katanya.

- Utusan Borneo Online - 


 
Sarawak berpotensi membekalkan tenaga ke Sabah dan Brunei setelah kemudahan Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 500MW siap di Miri menjelang 2027.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak telah memeterai perjanjian dengan Sabah untuk membekalkan 50MW tenaga.

Namun katanya, negeri jiran itu telah memohon untuk menambah bekalan kepada 100MW.

“Kita melihat kapasiti kita dari sudut pengeluaran tenaga.

"Apa yang akan berlaku ialah pada 2027, kemudahan loji CCGT di Miri ini akan siap dengan kapasiti 500MW, jadi kita akan dapat membekalkan tenaga kepada jiran-jiran kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, Sarawak juga merancang untuk membina tiga lagi loji CCGT di Bintulu dengan kapasiti 500MW setiap satu menjelang 2027.

Dengan kapasiti tambahan ini katanya, Sarawak akan dapat memenuhi permintaan Sabah untuk 100MW.

Beliau turut memberitahu, Sarawak kini sedang berbincang dengan Brunei Darussalam mengenai bekalan tenaga.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata, loji CCGT bernilai RM2 bilion di Miri akan meningkatkan bekalan kuasa di utara Sarawak selain berpotensi memberi perkhidmatan kepada Sabah dan Brunei.
Loji itu katanya, akan menggunakan campuran metana dan hidrogen untuk mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kecekapan tenaga.

"Semasa lawatan saya ke Taman Hidrogen Takasago Mitsubishi Heavy Industries, saya menyaksikan turbin gas berkuasa hidrogen rangka besar pertama di dunia.

"Teknologi terobosan ini akan disepadukan ke dalam kemudahan CCGT Sarawak, memperkukuh kepimpinan kami dalam peralihan tenaga rendah karbon," katanya.

Justeru, Abang Johari berkata Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) mempercepatkan momentum berkenaan dengan mewujudkan ekosistem tenaga yang meningkatkan akses kepada gas asli di seluruh Sarawak, menyokong pertumbuhan perindustrian, kegunaan domestik dan kemakmuran ekonomi.

"la menggambarkan masa depan yang transformatif untuk landskap tenaga negeri. Sebagai sebahagian daripada visi ini, terminal gas baharu akan membolehkan pengagihan yang cekap, memberi manfaat kepada isi rumah dan industri, seperti faedah yang telah dinikmati oleh penduduk di Miri,” katanya.


- Utusan Borneo Online -







 


© Hak Milik Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.


Last Updated On 22 Jan 2025

WAKTU PEJABAT

Isnin - Khamis

8 pagi hingga 1 petang & 2 petang hingga 5 petang

Jumaat

8 pagi hingga 11:45 pagi & 2:15 petang hingga 5 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum

Kaunter Tutup

image Undian
image Pengumuman